Kenapa Jepun? Soalan dari beberapa orang termasuk ibu saya sendiri yang ingin tahu kenapa saya memilih Jepun untuk saya lawati beberapa kali. Jepun adalah sebuah negara yang saya merancang untuk bermastautin pada satu masa dahulu. Tetapi cita-cita itu terkubur kerana kekangan dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan ketika itu. Ditambah lagi bila sudah berkahwin dan berkeluarga, cita-cita saya untuk tinggal di sana hanya tinggal impian. Suami seorang anak sulung dan tanggungjawab terhadap keluarga membuatkan saya tidak merancang untuk memberitahu pada suami cita-cita saya yang sebenar. Berlainan dengan saya kehidupan tinggal di luar negara sudah tidak asing untuk saya kerana cara saya dididik sejak kecil untuk menjadi seorang yang berdikari. Selain itu banyak peluang sebenarnya saya dapat untuk tinggal dan bekerja di sana tetapi perancangan Allah itu amatlah hebat kerana saya yakin Malaysia negara yang saya cintai ini masih lagi sebuah negara yang aman dan makmur untuk saya tidak meninggalkannya. Kalau dulu untuk tinggal di Jepun adalah satu peluang yang hebat tapi sekarang ini banyak peluang dan cara untuk kesana tidak semestinya belajar atau bekerja. Sekarang ni nak pergi kesana pun senang, bermacam-macam syarikat penerbangan yang menawarkan tambang murah. Dunia sudah berubah bukan satu perkara pelik untuk orang Malaysia ke sana. Ramai yang muda-muda pun boleh pergi sekarang ini.
Bagaimana ia bermula
Bahagian 1 – OSHIN dan Yamagata
Saya minat dengan Jepun sejak saya kecil lagi. Anda ingat tak lagi dengan cerita Oshin (おしん) pada tahun 80an sehingga 90an, jika tidak ingat ataupun tidak tahu, maksudnya anda jauh lebih muda dari saya. Biar saya ceritakan serba sedikit pasal kisah Oshin ni. Cerita ni memang kesannya amat mendalam sangat untuk saya sebab Oshin dibesarkan di kampung sama seperti saya. Oshin, menceritakan kisah hidup seorang perempuan miskin yang penuh perjuangan dan bekerja keras hingga akhirnya ia berhasil menjadi seorang pengusaha wanita yang berjaya di Jepun. Kisah hidup seorang perempuan miskin yang penuh perjuangan dan kerja keras dan memberi motivasi pada seseorang supaya tidak patut berputus asa sesekalipun meskipun pada saat-saat paling perit dalam hidup. Cerita ini dimainkan sewaktu saya sekolah rendah sehinggalah saya masuk ke sekolah menengah berasrama dan banyak drama Jepun yang dimainkan pada waktu zaman persekolahan saya. Antaranya Moero Attack/Kesatria Baja Hitam/Chiaki/Rin Hane Koma dan ada macam-macam lagi sebenarnya. Bila di asrama pula, kami hanya boleh menonton selepas prep petang sahaja. Sebelum aktiviti sukan bermula, ramai-ramai akan berkumpul di ruang menonton tv untuk rancangan-rancangan kegemaran.
Jadi apa yang saya boleh ringkaskan kehidupan saya penuh dengan cerita dan drama-drama Jepun yang hebat waktu saya kecil. Itu belum lagi cerita-cerita kartun yang terkenal seperti doraemon, ultraman dan macam2 lagilah. Bukan setakat itu tetapi lagu-lagu Jepun yang terkenal juga ketika itu.
Dalam cerita Oshin ada 4 musim yang dipertontonkan membuatkan saya berangan dari kecil satu hari hari saya akan ke tempat sejuk seperti di Jepun.
Bahagian 2 – Dasar Pandang Ke Timur
Dasar Pandang Ke Timur oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada satu ketika dulu menguatkan lagi semangat dan kerjasama Malaysia dan Jepun. Dasar ini maksudnya, pihak kerajaan membuat pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan keadaan-keadaan di Malaysia. Perkara-perkara yang ditumpukan ialah ‘kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan daya pengeluaran (produktiviti) dan mutu yang tinggi (kualiti), peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am sistem pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek, dan lain-lain lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita’. Kerjasama dua negara dan pelbagai peluang yang didedahkan pada waktu itu juga membuatkan saya amat tertarik lagi untuk kesana. Pada waktu tu ramai pelajar Malaysia dapat belajar ke sana dan pekerja2 terutama dari kilang2 di Jepun dihantar kesana bagi mempelajari budaya orang Jepun.
Bahagian 3 – Bekerja Dengan Orang Jepun
Saya tinggal di sempadan Melaka dan Negeri Sembilan. Di kedua-dua buah negeri ini terdapat banyak kilang Jepun dan saya juga pernah bekerja di beberapa syarikat Jepun antaranya Hitachi, Hiroshige, Alps dan terakhir saya bekerja dengan orang Jepun di Denso Bangi. Ada lagi beberapa syarikat yang saya pun dah lupa namanya sebab saya bekerja dalam tempoh yang pendek-pendek. Pengalaman-pengalaman ini menjadikan budaya Jepun begitu dekat di hati saya. Kerana itu Jepun dan saya tidak dapat dipisahkan kerana budaya mereka, bahasa yang menjadi kebiasaan harian saya pada satu masa dulu.
Atas sebab-sebab inilah saya dan Jepun berpisah tiada. Walau jauh mana pun saya pergi, ingatan dan kenangan saya di Jepun masih menjadikan detik-detik indah. Kini saya ingin meneroka negara matahari terbit ini bersama-sama keluarga saya. Moga Allah mudahkan!
