Musim Bunga – Hari Ke Empat ( Asakusa dan Odaiba)

Travelog ke Jepun

Hari Ke Empat 15 April 2018 (Ahad)

Asakusa

Bermalam di Gotanda memudahkan kami untuk berjalan-jalan di sekitar Tokyo memandangkan kawasan ini dekat dengan Stesen JR Yamanote line dan subway Toei Asakusa. Jarak antara hotel ke stesen keretapi JR ialah 120m sahaja dan ke stesen keretapi Toei Asakusa ialah 200m. Hari ini kami pergi ke Asakusa dan Odaiba. Destinasi pertama ialah Asakusa dan pintu masuk ke Stesen Toei  berada betul-betul di hadapan hotel Mystays Gotanda Station yang kami duduk. Toei line ialah keretapi bawah tanah. Jika lihat Google Map jaraknya cuma 200m tetapi sebenarnya menggunakan laluan bawah tanah jaraknya ialah 720m dari hotel. Dari stesen Gotanda ke stesen Asakusa perjalanan memakan masa selama 24 minit dan singgah di 13 perhentian sebelum kami tiba di Asakusa. Setibanya di Asakusa, kami terus pergi ke Nakamise Shopping street yang berada 550 meter dari stesen keretapi. Di sini terdapat pelbagai barangan terutamanya omiyage iaitu cenderahati yang boleh dibeli oleh pelancong asing.

Asakusa merupakan tempat sejarah dan di belakang Nakamise street terletaknya Sensoji temple. Di sini kami singgah makan dan solat di restoran halal iaitu Naritaya. Kedainya cuma kecil sahaja tetapi ianya adalah halal. Mencari makanan halal di Jepun agak sukar tetapi ia lebih mudah sekarang ini berbanding waktu dulu. Di sekitar kawasan Nakamise anda boleh nampak Menara Tokyo Skytree.

Selepas kami selesai di sana, perjalanan diteruskan ke Odaiba dengan menaiki ferri di Tokyo Cruise Asakusa pier dan jaraknya cuma 350meter dari Nakamise Shopping street. Maklumat lanjut tentang cruise boleh anda dapati disini. Masa perjalanan dari Asakusa ialah 1 jam. Sepanjang perjalanan dari Asakusa ke Odaiba, kami boleh melihat pemandangan-pemandangan indah dan melalui Tokyo Bridge yang tersergam indah. Sebelum tiba di Odaiba, ferri akan berhenti di Hinode pier sebelum menyambung perjalanannya ke Odaiba seaside park. Terdapat beberapa jenis ferri yang boleh anda naiki iaitu Hotaluna, Himiko dan Emeraldas. Waktu kami tiba, feri yang ada ialah Himiko dan harga dari Asakusa ke Odaiba Seaside ialah 1,720 yen untuk dewasa dan 860 yen untuk kanak-kanak.

Source : Tokyo Cruise 

Odaiba

Setibanya kami di Odaiba, hari sudah hampir petang dan kami ke Diver City Plaza dimana terdapatnya robot besar Gundam dan restoran halal yang bernama Restoran Sojibo. Apa yang ada di Diver City Plaza sama seperti shopping complex yang berada di Malaysia. Kali ini kami ke Odaiba hanya untuk melihat robot Gundam disitu kerana kekangan masa yang suntuk untuk berjalan disekitar Odaiba. Di Odaiba banyak tempat yang menarik untuk dilihat dan pergi. Sekiranya anda ingin kesana pastikan anda sudah pergi dari awal pagi untuk berjalan disekitarnya. Terdapat banyak tempat yang menarik di Odaiba tetapi kami pergi waktu sudah petang dan tidak bermalam di sana, oleh itu banyak tempat yang tidak dapat kami pergi.

 

     

 

Sewaktu pulang semula ke Gotanda, kami menaiki keretapi. Dari Diver City Plaza terdapat bas percuma yang akan singgah di stesen keretapi Daiba. Dan dari stesen Daiba kami ke stesen Shimbashi menaiki Yurikamome line kemudian dari stesen Shimbashi ke stesen Gotanda bersambung dengan JR line.

Plaza Diver City – Stesen Daiba (menaiki bas)

Stesen Daiba – Stesen Shimbashi (menaiki keretapi line Yurikamome)

Stesen Shimbashi – Stesen Gotanda (menaiki keretapi line JR) 


Ini adalah senarai tempat-tempat menarik yang ada di Asakusa dan Odaiba:

Asakusa

1. Nakamise Shopping Street

2. Asakusa Sensoji Temple

3. Tempat Shopping 

  • Donquijote
  • ABC Mart
  • Daiso

Odaiba

1. Gundam Statue

2. Venus Fort

3. Odaiba Seaside

4. Statue 

5. Rainbow Bridge

6. Tempat Shopping 

  • Aqua City
  • Fuji TV
  • Diver City
  • Water Bus

Sila Klik Di Bawah Untuk Itenerari-Jadual Perjalanan Seterusnya

Please share and like our webpage

Leave a Reply

Your email address will not be published.