Jom ke Turki ! Turkey ! Turkiye!

Alhamdulilah…akhirnya selepas menanti selama 2 tahun lebih tidak kemana-mana dan hanya di dalam negara, saya dapat semula terbang ke luar negara. Dan kali ini kami sekeluarga akan terbang ke Turkiye pada bulan September 2022 nanti iaitu pada musim luruh. Jom saya ceritakan serba sedikit bagaimana mulanya trip saya ‘ter’pergi ke Turkiye pula pada kali ini. Sebenarnya saya sudah pun book trip ke Switzerland dengan satu travel agensi untuk solo travel. Pada mulanya saya dan suami ingin pergi sendiri tanpa anak lelaki saya yang tidak mahu ikut serta. Kemudian suami saya pula tidak mahu ikut memandangkan rumah baru kami akan siap tak lama lagi dan banyak perbelanjaan diperlukan untuk masuk ke rumah baru. Ke Swiss perbelanjaan nya agak besar kerana tukaran wang yang sangat tinggi. Saya akhirnya merancang untuk pergi solo tanpa keluarga. Sehingga keputusan akhir dibuat, saya dan suami memutuskan untuk ke Turkiye sahaja kerana kosnya yang lebih murah dibandingkan ke Swiss. Akhirnya saya juga bersetuju untuk menukar lokasi walaupun Swiss adalah dalam senarai bucket list saya. Tetapi sebab tujuan saya melancong adalah untuk bersama keluarga dan anak-anak jadi saya turutkan juga. Saya dah rasa bagaimana berjalan solo sewaktu saya muda belia dan kali ini memandangkan anak-anak juga masih kecil semuanya kena angkut juga. Nanti tak tenang tinggalkan mereka disini.

Selepas lokasi travel kami confirm, saya terus berhubung dengan beberapa travel agensi untuk ke Turki. Jika ikutkan, saya ingin je pergi sendiri berdasarkan pengalaman kawan yang dah pergi ke sana. Tetapi suami rasa berat hati memandangkan trip kami ini juga turut disertai mak dan ayah mertua saya yang akan ikut sama. Disebabkan umur mereka atas 65 tahun, kami bersetuju untuk pergi bersama travel agensi, lebih mudah dan lebih selesa. Kedudukan dan lokasi di Turki antara satu tempat ke satu tempat juga jauh-jauh dan banyak persiapan dan info kena belajar jika pergi sendiri. Memandangkan Turki bukanlah negara yang saya plan untuk pergi kali ni, jadi saya kurang tahu pasal negara ini dan sebelum ini saya lebih mengkaji tentang Swiss sahaja. Saya hanya mengambil masa seminggu untuk membuat perbandingan dan akhirnya kami memilih Tiram Travel kerana hanya Tiram yang masih ada tempat pada musim cuti sekolah bulan September ini. Harganya juga sangat berpatutan selepas kami membandingkan dengan beberapa agensi travel yang lain. Selain itu kenapa kami ingin mencuba servis Tiram kali ini, kami juga mempunyai perancangan umrah bersama keluarga dan Tiram antara yang kami pilih pada masa akan datang jika Allah izinkan. Mungkin dah di izinkan olehnya kami sekeluarga akan ke Turki pula selepas ini selepas 2 tahun tidak menaiki kapal terbang ke luar negara. Kali terakhir kami ke luar negara ialah ke Bali sebelum pandemik Covid melanda pada tahun 2020.

Sebelum ke luar negara, antara yang biasa saya lakukan ialah membuat sedikit persediaan tentang negara tersebut dan tempat-tempat yang akan dilewati. Negara Turki sangat dekat dengan hati umat islam kerana sejarah Islam yang berkembang di Turki dan akhirnya ke Eropah serta Asia barat yang lain. Seorang yang sangat suka dengan sejarah Islam dan pengalaman menunaikan umrah dulu, saya begitu terkesan jika ke tempat sejarah sewaktu ziarah di Mekah dan Madinah. Sudah pasti perkara yang sama akan dirasai jika ke Turki.

Baru-baru ni Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu atau dikenali dengan United Nations membuat pengumuman negara Turki diberi kebenaran untuk menukar nama kepada Turkiye. Kenapa mereka ingin menukar nama negara tersebut kerana nama Turkiye itu sendiri mewakili dan menggambarkan kebudayaan, ketamadunan dan nilai rakyat mereka. Bukan sebab ayam Turki tu hihi..Turkiye adalah sebuah negara Eurasia yang terletak di Semenanjung Anatolia dan sebahagian kecil Semenanjung Balkan Eropah Tenggara. Disebabkan oleh kedudukan lokasinya yang strategik antara di persilangan dua buah, budaya Turki merupakan campuran budaya Timur dan Barat yang unik juga diklihat sebagai jambatan antara dua peradaban.