Tahun 2020 Meninggalkan Seribu Makna Dengan Kehadiran Covid19

Teringat lagi waktu sekolah dulu-dulu, Wawasan 2020 adalah visi negara untuk menjadi negara moden dan ketika itu bayangan kereta terbang dan pelbagai teknologi moden yang akan merubah dunia yang akan berlaku pada tahun 2020. Ternyata perancangan manusia itu tidak boleh menjangkaui ketentuan ilahi. Bukan kereta terbang yang ada pada tahun 2020 ini tetapi kuasa Allah yang maha lebih hebat dengan kehadiran wabak koronavirus di atas muka bumi ini. Tidak pernah terlintas pada pemikiran, yang wabak ini boleh melumpuhkan dunia. Pernah juga terfikir sekiranya perang dunia ketiga meletus, pasti musnah banyak negara. Tetapi bukan peperangan yang meletus tetapi Allah menghadirkan wabak ini seolah-olah kita di dalam kancah peperangan. Berperang dengan musuh yang kita tidak dapat melihat dengan mata kasar.

Dunia hampir lumpuh dengan wabak Covid 19 ini. Kuasa-kuasa besar seperti Cina, Amerika Syarikat dan Eropah adalah negara yang paling teruk dilanda wabak ini. Bukan sahaja negara-negara besar malahan negara-negara yang kecil seperti negara kita Malaysia dan Singapura. Setiap sesuatu yang berlaku adalah dengan izin dari Allah swt. Ia adalah teguran dari tuhan untuk kita.