Trip Medan & Danau Toba – Impian Sejak Kecil Yang Akhirnya Tercapai

Trip Medan & Danau Toba – Impian Sejak Kecil Yang Akhirnya Tercapai

Dah masuk bulan November baru sempat nak kongsi trip saya ke Medan dan Danau Toba pada September yang lepas. Sejujurnya, lepas pindah ofis baru memang sibuk sangat sampai tak sempat nak update apa-apa.

Trip ke Medan ni dah lama nak pergi tapi asyik tertunda-tunda. Ada yang kata, Medan ni tak best, panas, tak menarik dan macam-macamlah jadi hati pun tak rasa betul-betul nak pergi. Rencana asal sebenarnya nak ke Bromo Surabaya tapi bila tengok harga tiket last minute harga melambung jadi RM1500 seorang terus batal. Kalau dah mahal macam tu baik pergi negara lain terus yang lebih jauh. Tapi tahun ni dan tahun depan saya perlu berjimat sebab tengah renovate rumah kedua, jadi pilihan cuti pun kena berhemah. Maka Medan naik jadi pilihan kedua dan untuk tahun ni dah dua kali saya ke Indonesia.

Dari kecil lagi saya teringin ke Danau Toba sebab cerita sejarahnya dan keindahan semula jadinya.  Jadi saya pun belilah tiket Air Asia ke Medan dalam RM550 seorang (boleh tahan juga harganya).

✈️Perjalanan & Tiba di Medan

Trip kali ini naik Air Asia dan alhamdulilah flight tak delay. Tak sampai sejam pun dalam kapal, 40 minit je dah sampai Kuala namu International Airport. Lapangan terbang ni besar, moden dan jauh lebih tersusun berbanding airport padang yang saya pergi sebelum ni. 

Medan Kuala Namu

Di luar airport, supir yang saya tempah awal dah sedia menunggu dan kami terus bergerak ke destinasi pertama iaitu makan tengahari di Restoran  Islam Murni sebelum meneruskan perjalanan kami ke Kebun Teh Sidamanik.

🌿Kebun Teh Sidamanik dan pemandian Bah Damanik

Untuk ke Kebun Teh Sidamanik, kami ikut lebuhraya baru Trans Sumatera jaluran Medan – Permatang Siantar. Selepas 2 setengah jam, akhirnya sampai ke Kebun Teh Sidamanik. Subhanallah, pemandangan kebun teh yang terbentang luas dan menghijau memang meyejukkan mata. Terus teringat pada ladang teh di Solok, Alahan Panjang yang sebenarnya lebih memukau, tapi Sidamanik pun tetap menawan. 

Selepas habiskan masa beberapa lama disini, saya ke Pemandian Bah Damanik juga deiekanali sebagai Aek Manik 10 minit je dari ladan teh tadi. Tempat ini dulu katanya tempat pemandian raja dan keluarganya. Tapi kena hati-hati tangga nak turun agak tinggi dan curam, jadi tak sesuai untuk warga emas atau yang ada masalah lutut. Saya tak mandi, cuma ambil gambar dan nikmati suasana yang cukup tenang dan misteri.

Boleh tahan juga tangga ni nak ke bawah

🌙 Perjalanan ke Parapat – Ujian Mental Waktu Malam

Dari Bah Damanik, kami teruskan perjalanan ke Parapat, tapi waktu tu dah hampir maghrib. Walaupun jarak dalam map cuma 45km, jalan berbukit, berliku dan gelap dalam hutan, perjalan ambil masa hampir 2 jam. Sepanjang jalan memang sunyi sepi hampir tiada kenderaan lain. Ada sedikit rasa risau juga bila hanya kereta kami yang melalui jalan tu. Saya nasihatkan, elakkan perjalanan malam dari Medan ke Parapat. Siang lebih selamat dan boleh menikmati pemandangan.

AKhirnya, setelah hampir 2 jam dalam gelap, kelihatan cahaya-cahaya kecil dari pesisir Danau Toba. Rasa lega bila sampai ke Hotel Khas Parapat, hotel tepi tasik dengan view yang sangat cantik.  

Di Parapat kami tinggal di Hotel Khas Parapat. Pemandangan tasik danau toba sangat cantik dekat sini. 

Keesokan paginya selepas sarapan, kami terus ke Pelabuhan Ajibata dan menaiki feri selama 1 jam ke Pulau Samosir. Alhamdulilah cuaca pun baik sepanjang perjalanan yang mendamaikan.

Saya sambung di post berikutnya pengalaman di Pulau Samosir.

Setiap perjalanan bukan sekadar tempat yang dituju, tapi tentang cerita yang kita bawa pulang. medan & Danau Toba bukan hanya destinasi, tapi kenangan indah yang kini diukir dalam diari hidup saya.