Bila suami isteri kaki travel

Sedari kecil seperti di dalam penulisan saya sebelum ini saya seorang yang suka travel dan bila melangkah dewasa minat saya mengembara hingga saya mencari peluang bekerja di luar negara bagi mencapai cita-cita. Tetapi banyak yang terbantut kerana memikirkan anak yang masih kecil dan suami tidak mengizinkan. Pergi bekerja juga tidak puas berjalan kerana banyak aktiviti lain yang perlu dilakukan. Sehinggalah anak saya yang sulung berumur 3 tahun kami mula mengembara ke luar negara bersama. Bila lahirnya anak saya yang kedua, suami semakin menyokong minat saya ini dan mengizinkan apa yang saya lakukan ini sehinggalah terbitnya blog Jejak Travel Santai ini.

Bila berjalan atau mengembara suami isteri ada kebaikan dan juga keburukannya kerana di sepanjang perjalanan ada juga adegan-adegan yang tidak seronok atau kadang-kadang berkecil hati..hihi Bila difikirkan semula, jika berjalan dengan kawan sama juga. Bila kita tidak suka cara seseorang yang kita travel bersama, pasti kita takkan ulang lagi untuk bersama. Tetapi bila pergi suami isteri mana boleh kita tinggalkan suami atau isteri selepas itu. Jadi jalan yang lebih baik, kami sama-sama berbincang dan saya selalunya menjadi guider dalam perjalanan kami dan suami hanya mengikut itinerary yang sudah saya buat. Ada ketikanya kami juga pergi ke tempat di mana masing-masing ada minat tersendiri jika kami sampai ke sesuatu tempat.

Anak-anak juga masih kecil tapi kami dah dedahkan mereka untuk melancong dan mengembara bersama sejak mereka kecil lagi. Anak yang sulung mula keluar negara ketika umurnya 3 tahun lebih manakala anak perempuan saya pergi keluar negara sejak umurnya 8 bulan lagi. Bila berjalan satu keluarga, ibulah yang akan menjadi orang paling sibuk sekali kerana melengkapkan segala keperluan yang sepatutnya. Saya kebiasaanya mengambil masa 3 minggu untuk packing barang jika keluar negara kerana saya tidak suka last minute kecuali jika kami hanya petgi dalam negara sahaja. Ini kerana jika ada barang yang kita tidak bawa atau terlupa kerana kos membeli di luar negara mungkin mahal dari sini. Tetapi jika hanya melancong dalam negeri saya tidak terlalu terbeban untuk memikirkan macam-macam perkara. Boleh rujuk sini untuk persiapan melancong bersama keluarga yang ada anak kecil.

Kami suami isteri ada minat yang berbeza ketika mengembara tetapi kami masing-masing memberi ruang untuk memilih apa yang kami suka. Jadi ini juga membentuk ruang ‘me’ time untuk kami sekeluarga. Ada ketikanya kami juga pergi ke tempat di mana masing-masing ada minat tersendiri jika kami sampai ke sesuatu tempat. Misalnya ketika saya di Tokyo, suami ingin berjalan-jalan di bandar Tokyo iaitu ke Shinjuku dan Akihabara manakala saya ingin ke Nikko dua jam perjalanan dari Tokyo kerana saya meminati alam semulajadi dibandingkan suasana bandar. Jadi kami berdua meneruskan perjalanan masing-masing jadi istilah me time juga dapat kami rasa. Sama juga baru-baru ini kami ke Pulau Perhentian, saya seorang morning person dan saya keluar bersendirian untuk menikmati matahari terbit berseorangan sambil mengambil gambar yang menjadi minat. Saya sendiri sedari awal perkenalan kami suami memang tahu saya seorang yang suka bersendiri pada satu ketika.

Pada saya travel bersama dengan kawan-kawan lebih menyeronokkan kerana memberi ruang untuk kita bergaul bersama teman-teman. Ini juga membuka ruang dan masa untuk kita berjauhan bersama keluarga dan membuatkan terbit rasa rindu dan membaiki hubungan dengan lebih baik ketika terpisah sementara waktu. Tapi zaman itu sudah berakhir untuk saya kerana waktu saya berumur 20-30an saya sudah puas berjalan bersama teman-teman dan tugasan kerja di luar membuatkan kadang-kadang rindu untuk bersama keluarga. Kini saya lebih memilih untuk melancong bersama suami dan anak-anak memandangkan mereka masih kecil. Tiada perasaan rindu memandangkan mereka bersama dan ia juga mendidik anak-anak saya tentang negara luar. Siapa tahu satu hari saya akan kembali melancong seorang diri seperti dulu-dulu atau bersama teman-teman jika anak-anak sudah dewasa dan pasti sibuk dengan kehidupan mereka. Tetapi pastilah dengan keizinan dari sang suami.

Perancangan kami suami isteri untuk keluar negara terbantut bila pandemik covid 19 melanda. Masa ini juga buatkan kami membuat simpanan untuk persediaan akan datang ke luar negara setelah pintu sempadan negara dibuka nanti. Di Malaysia sahaja masih banyak lagi tempat yang boleh dilewati. Jom kita doa sama-sama semoga wabak ini diangkat tuhan dari atas bumi ini.